Book Appointment Now

Malay Manuscript at Leiden University
Tempat seperti School of Oriental & African Studies (SOAS) dan British Library, London terkenal dengan penyimpan khazanah Melayu terutama dari Malaysia. Walaubagaimanapun kami berpeluang menyaksikan sendiri khazanah tulisan Melayu terutama sekali dari Indonesia di Universiti Leiden. Melalui Prof. Dr Salleh Yaapar kami berkenalan dengan Dr Willem van der Molen pensyarah Jabatan Bahasa dan Budaya Asia Tenggara dan Oceania dan juga pakar filologi. Dr. Willem fasih berbahasa Melayu Indonesia dan mahir dalam bahasa Jawa halus. Dari perwatakan dan peribadi Dr. Willem jelas sekali beliau menghargai sifat lemah lembut dan budi pekerti orang Melayu. Kami agak kagum melihat kesungguhan Dr. Willem yang begitu serius mengadakan persediaan menerima kehadiran kami dengan menyiapkan secara rapi persembahan manuskrip Melayu yang terbaik dari perpustakaan Universiti Leiden.
Antara yang manuskrip yang menjadi tatapan kami ialah surat antara Kesultanan Johor dan Kompeni dari Belanda, Hikayat Hang Tuah oleh Tun Seri Lanang, karya Hamzah Fansuri dan Nuruddin al-Raniri. Manuskrip yang bertulisan jawi berusia berusia antara 100 hingga 400 ratus tahun dijaga dengan rapi dan diteliti oleh ahli akademik di universiti ini dengan begitu bersungguh-sungguh. Ianya tergambar melalui catatan nota tepi yang tertulis di bahagian tepi manuskrip lama tersebut dan dikaji oleh ahli akademik antara yang terawal di Universiti Leiden. Menurut Dr. Willem melalui tulisan dan warisan manuskrip ini mengambarkan ketelitian dan keupayaan artikulatif penulis menerangkan dan melihat sesuatu perkara. Keadaan ini mengambarkan bahawa rantau nusantara memiliki potensi dan ramuan kepada pembinaan sesebuah tamadun.
Selain dari perpustakaan utama Universiti Leiden terdapat sebuah lagi pusat penyelidikan di bawah universiti yang melakuakan kajian ke atas rantau kita. Di sini juga terdapat Pusat Maklumat Malaysia (Malaysian Resource Centre) di Royal Institute of Linguistics and Anthropology (KITLV). Penubuhan Pusat Maklumat Malaysia (Malaysian Resource Centre) di Royal Institute of Linguistics and Anthropology (KITLV) dimeterai pada Disember 1995. Perpustakaan Negara Malaysia dengan kerjasama Royal Institute of Linguistics and Anthropology (KITLV) Leiden telah menandatangi perjanjian kerjasama untuk mewujudkan Pusat Maklumat Malaysia (Malaysian Resource Centre) di KITLV. Pengarah KITLV, Prof. Peter Boomgaard dan pustakawan Dr Roger Tol telah hadir menandatangani kerjasama ini dengan kehadiran Menteri Pendidikan Malaysia dan Duta Besar Belanda ke Malaysia ketika itu.
Royal Netherlands Institute of Southeast Asian and Caribbean atau di dalam bahasa Belanda “Koninklijk Instituut voor Taal-, Land-en Volkenkunde” (KITLV) yang ditubuhkan pada tahub 1851. Objektif utama KITLV menjalankan kajian mendalam mengenai antropologi, linguistik, sains sosial dan sejarah Asia Tenggara, rantau Pasifik dan Caribbean. Keutamaan istimewa diberikan kepada bekas tanah jajahan Belanda seperti Indonesia, Surinam. Perpustakaan KITLV merupakan boleh dianggap sebagai penyimpan khazanah atau koleksi dokumen bertulis dari Indonesia.